http://www.bharian.com.my/Friday/Rencana/20090730231809/Article/index_html
'TEKNOLOGI hijau' bukan frasa baru dalam konteks pembangunan teknologi dan inovasi. Pada hemat saya, ada tiga komponen penting memastikan tahap 'kehijauan' sesuatu teknologi, iaitu kesan kepada alam sekitar, manfaat kepada pengguna dan pemangkin kehidupan lestari. Kesan kepada alam sekitar boleh ditentukan menerusi kaedah analisis kitar hayat (LCA) atau pengiraan tapak ekologi.
Manfaat kepada pengguna pula membabitkan bukan saja pengurangan kos modal dan operasi, malah turut membabitkan peningkatan keselamatan, kemudahan dari segi penggunaan dan praktikal. Misalnya 'kereta hijau' seharusnya murah dan menjimatkan dari segi bahan api. Selain itu, reka bentuk kereta itu mestilah lebih selamat, menarik dan tidak sukar dipandu.
Teknologi hijau juga pemangkin kehidupan lestari. Justeru, teknologi hijau perlu direkabentuk untuk menyubur minda lestari, kehidupan mesra alam, mengurang pembaziran, menyemarak budaya, mementing agama dan memugar ekosistem.
Sebagai contoh pakaian, 'pakaian hijau' bukan saja dihasil menerusi bahan mentah dan proses pembikinan mesra alam, malah perlu disesuaikan dengan iklim setempat (misalnya tidak tebal bagi pengguna di kawasan beriklim panas supaya tidak memerlukan pendingin hawa), fesyen tidak mencolok mata atau mendedahkan aurat.
Semua aspek ini mendefinisikan 'teknologi hijau' bukan saja dari segi kaedah dan alat pembikinan sesuatu produk atau perkhidmatan, malah cara hidup lestari. Teknologi hijau semakin diperlukan bagi menangani keperluan setempat seperti pengurangan tahap pencemaran dalam sektor perkhidmatan air dan penjanaan tenaga lestari.
Malah teknologi hijau juga boleh dibangunkan sebagai industri strategik seperti dimulakan Jerman dan Jepun sejak 1990-an. Disebabkan teknologi hijau ialah suatu konsep berkaitan ciri teknologi dan idealisme lestari, maka penggunaannya meluas dalam seluruh sektor.
Ketika ini, konsep 'ICT hijau', 'bandar lestari', 'korporat hijau' dan 'kerajaan lestari' semakin berkembang daripada perkakasan, sistem perolehan, peraturan, tata cara sehingga kerangka dasar dan budaya kerja.
Sebagai contoh antara komponen penting dalam sesebuah kerajaan lestari ialah sistem perolehan memberi keutamaan kepada barang, perkhidmatan, proses dan hasil mesra alam. Dalam konteks pembinaan infrastruktur baru misalnya, tumpuan tidak hanya kepada penyediaan bangunan atau kelengkapan, tetapi turut membabitkan konsep, kaedah dan barang binaan, penggunaan tenaga dan utiliti lain dan budaya lestari di kalangan penghuni bangunan terbabit.
Dengan harga minyak masih tidak menentu dan kegusaran terhadap kesan peningkatan suhu bumi, maka peranan teknologi hijau dijangka lebih mendesak dan kritikal. Pada hemat saya, itulah antara faktor utama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menubuhkan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA).
Ketika melancarkan Dasar Teknologi Hijau Negara (DTHN) pada 24 Julai lalu, Najib menegaskan bahawa teknologi hijau akan dibangunkan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara ke arah pembangunan lestari.
Sehubungan itu, empat tonggak DTHN digariskan iaitu mencari ketidakbergantungan tenaga dan promosi kecekapan tenaga, melestarikan alam sekitar, meningkatkan pembangunan ekonomi negara melalui penggunaan teknologi hijau dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
Antara objektif DTHN ialah untuk meningkatkan keupayaan bagi inovasi dalam pembangunan dan daya saing teknologi hijau pada persada antarabangsa. Ketika ini memang banyak inovasi dilaksanakan, khususnya dalam teknologi berkaitan rawatan air dan air sisa secara lebih lestari dan kreatif.
Memang teknologi itu diperlukan dalam situasi kualiti dan kuantiti sumber air semakin terjejas. Malah pasaran teknologi itu cukup besar. Di negara maju, tumpuan adalah untuk membaikpulih kemudahan sedia ada dan meningkatkan keberkesanannya. Ini termasuk dalam sektor bekalan air, pembetungan, pengurusan air industri dan sistem kejuruteraan, misalnya dalam kabin kapal terbang dan kapal laut.
Di negara membangun pula, teknologi air lestari diperlukan untuk menyediakan kemudahan kepada penduduk yang masih belum menikmati kemudahan bekalan air dan pembetungan. Menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2002, bilangan penduduk di negara membangun tidak mendapat kemudahan bekalan air bersih ialah 1.1 bilion dan 2.4 bilion pembetungan.
Daripada jumlah itu, benua Asia paling ketara dengan 65 peratus penduduk masih belum mendapat bekalan air bersih dan 80 peratus kemudahan pembetungan, berbanding Afrika 27 peratus (bekalan air) dan 65 peratus (pembetungan).
Asasnya sudah tersedia, iaitu DTHN. Matlamat sudah dizahirkan. Malah laluan sudah ditunjuk. Maka usaha perlu dipergiatkan untuk membolehkan penggunaan dan penjanaan teknologi hijau subur di Malaysia.
Seperti kata Najib, 'impian saya adalah supaya suatu hari nanti kita boleh hidup dalam persekitaran bersih, sihat dan berkualiti tinggi, yang semua bandar, perbandaran dan komuniti dibina berasaskan konsep teknologi hijau.'
Profesor Datuk Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekeliling Malaysia
訂閱:
張貼留言 (Atom)
沒有留言:
張貼留言